Saturday 28 June 2014

Resepi Nasi Paprika Ayam

RESEPI NASI PAPRIKA AYAM


 

            Nasi paprika ayam ini berbeza sedikit dengan nasi yang berlauk yang lain. Hal ini kerana ayamnya sahaja yang dimasak. Nasinya pula, anda boleh gunakan nasi putih atau nasi goreng biasa. Ayam yang dimasak paprika boleh dicampurkan dengan sayur-sayuran supaya kelihatan lebih menarik dan hidangan anda juga lengkap. Hidangan resepi nasi paprika ayam ini boleh anda dapati di mana-mana kedai makan di Malaysia. Harganya juga berpatutan dan mampu untuk dinikmati oleh setiap individu. Kebiasaannya, resepi ayam paprika ayam ini mempunyai rasa yang sedikit manis disertai dengan rasa pedas. Kuahnya juga sedikit pekat.

 

            Anda boleh menikmati ayam paprika ini pada bila-bila masa sahaja. Ianya boleh dijadikan lauk utama untuk makan tengah hari mahu pun makan malam. Selain itu, ayam paprika ini sering dimasak atau didapati ketika makan beradab dalam majlis perkahwinan orang Melayu. Kebiasaannya, resepi nasi paprika ayam menjadi pilihan untuk dihidangkan semasa upacara makan beradab. Hal ini kerana rasanya yang agak manis-manis pedas, dikatakan sebagai simbolik agar pasangan pengantin menikmati kemanisan kehidupan sebagai suami isteri kelak.



Bahan-bahan untuk Resepi Nasi Paprika Ayam


·         3 cawan beras / mengikut kemahuan anda

·         Setengah ekor ayam (dipotong kecil-kecil)

·         2 ulas bawang putih (dicincang halus)

·         Sebiji bawang besar (dibelah dua dan dihiris bulat)

·         Sebiji cili merah (dihiris serong)

·         11 biji cilia pi (dipecah-pecahkan)

·         2 helai daun purut (disiat-siatkan)

·         Bunga kobis (dihiris kecil-kecil)

·         5 biji putik jagung (dihiris serong)

·         Setengah biji lobak (dihiris serong)

·         2 batang kacang panjang (dipotong pendek-pendek dalam anggaran satu inci)

·         2 sudu makan cili kering kisar

·         2 sudu makan sos cili

·         2 sudu makan sos tomato

·         1 sudu makan sos tiram

·         Sedikit air

·         Sedikit garam

Bahan-bahan untuk Nasi Goreng

·         5 biji bawang merah (ditumbuk atau dikisar)

·         3 ulas bawang putih (ditumbuk atau dikisar)

·         8 biji cili padi (ditumbuk atau dikisar)

·         Setengah genggam ikan bilis (ditumbuk atau dikisar)

·         2 biji telur

·         Sedikit garam

 

Cara-cara Memasak Nasi Goreng


1.      Basuh beras dan masak seperti biasa.

2.      Apabila nasi sudah masak, sejukkan separuh daripadanya.

3.      Separuh untuk dibiarkan sebagai nasi putih dan separuh lagi untuk digoreng.

4.      Panaskan minyak dalam kuali.

5.      Kemudian, tumis bawang merah, bawang putih, cili padi serta ikan bilis yang telah ditumbuk atau dikisar sebentar tadi.

6.      Tumis sehingga naik baunya.

7.      Pecahkan dua biji telur di dalam kuali. Kacau rata.

8.      Gaul sehingga telur sudah hampir masak. Jangan sampai ianya hangus.

9.      Selepas itu, masukkan nasi dan gaul rata.

10.  Pastikan semua bahagian nasi dilitupi dengan bahan tumisan.

11.  Taburkan sedikit garam dan gaul rata.

12.  Gaul lagi untuk tempoh dua sehingga tiga minit sebelum matikan api dan letakkan nasi ke dalam mangkuk yang bersesuaian.


 

Cara-cara Memasak Ayam Paprika


1.      Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.

2.      Kemudian, tumis bawang putih sehingga wangi dan naik baunya.

3.      Masukkan cili kisar dan tumiskan sehingga pecah minyak.

4.      Seterusnya, masukkan semua jenis sos yang diperlukan.

5.      Tumis lagi sehingga pecah minya.

6.      Kemudian, masukkan pula isi ayam dan kacau rata sehingga isi ayam menjadi layu,

7.      Masukkan sedikit air untuk mendapatkan kuahnya.

8.      Biarkan sehingga mendidih.

9.      Masukkan garan dan sedikit serbuk perasa secukupnya.

10.  Masukkan sayuran yang telah dihiris.

11.  Kacau rata dan masak sayur sehingga empuk.

12.  Sekiranya, kuah kelihatan pekat, anda boleh menambah sedikit air sebelum matikan api dan hidangkannya.

 

Selain daripada resepi di atas, anda juga boleh mencuba resepi nasi goreng paprika ala thai yang cukup mudah untuk disediakan. Mungkin anda sudah bosan dengan resepi nasi goreng biasa yang anda sering kali masak. Jadi, apa kata kalau anda cuba memasak resepi ini pula.

 

Bahan-bahan untuk Nasi Goreng


1.      2-3 mangkuk nasi.

2.      2 biji bawang merah (dihiris)

3.      3 ulas bawang putih (cincang halus / dutumbuk)

4.      2 sudu besar cili kering (dikisar)

5.      1 sudu besar pati tomyam

6.      Sedikit isi ayam

7.      2-3 sudu besar minyak masak

8.      2 sudu kecil garam atau secukupnya

9.      Serbuk secukup rasa atau serbuk perasa secukupnya

 

Cara-cara Memasak Nasi Goreng

1.      Panaskan minyak dan tumiskan bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau.

2.      Masukkan awam dan biarkan ayam masak seketika

3.      Kemudian, masukkan cili kering dan pati tomyam. Kacau sekata.

4.      Tambahkan garam dan serbuk perasa.

5.      Selepas itu, masukkan nasi dan gaul rata sebelum padamkan api.

 


Bahan-bahan untuk Paprik

1.      4-5 ekor udang / sotong

2.      Sedikit hirisan ayam

3.      2 ulas bawang putih (dicincang)

4.      2 helai daun limau purut

5.      1 batang serai (dipotong serong)

6.      1 sudu besar sos tiram

7.      1 sudu besar sos tomato

8.      Sayur-sayuran (bunga kubis/putik jagung/kacang panjang)

9.      3-4 biji cili padi (diketuk)

10.  1/4 bawang besar (dimayang kasar)

11.  Garam secukupnya

12.  1 sudu kecil gula

13.  Serbuk perasa secukupnya

 

Cara-cara Memasak Paprik

1.      Tumiskan bawang putih dan serai sehingga naik bau.

2.      Masukkan isi ayam dan biarkan masak seketika.

3.      Masukkan sos tiram, sos tomato dan air secukupnya. Kacau rata.

4.      Masukkan sayur-sayuran.

5.      Kemudian masukkan udang/sotong. Biarkan masak seketika.

6.      Selepas itu, masukkan cili padi, daun limau purut dan bawang besar.

7.      Kacau dan gaul rata sehingga masak. Padamkan api.

8.      Sedia dihidangkan bersama nasi goreng tadi.

 

Di samping itu, anda juga boleh cuba memasak resepi ayam paprika bersama cendawan tiram. Cendawan tiram baik untuk membina kesihatan kerana ia mempunyai beberapa keperluan badan mikro. Ianya mengandungi 9 asid amino dengan 19-35% protein. Vitamin yang terdapat pada cendawan ini ialah vitamin B1, B2, niasin, biotin dan vitamin C. ia juga mengandungi mineral penting seperti K,P, Ca, Na, Mg dan Cu. Oleh itu, tidak ada salahnya jika anda mencampurkan cendawan ini ke dalam masakan anda terutamnya ayam paprika ini.

 

Bahan-bahan untuk Ayam Paprik bersama Cendawan Tiram

1.      3 ketul ayam- dipotong kecil

2.      1 bungkus cendawan

3.      Sedikit bunga kubis

4.      Sedikit lobak – dihiris

5.      1/2 biji bawang Holland – dipotong kasar

6.      10 tangkai cili api – diketuk

7.      3 ulas bawang putih – diketuk

8.      Seinci halia – diketuk

9.      4 helai daun limau purut – dikoyak-koyakkan

10.  2 sudu besar sos tiram

11.  1 senduk sos cili

12.  Sedikit kicap (jika perlu)

13.  2 sudu besar tepung jagung – dibancur dengan air

14.  Air masak secukupnya

15.  1 kiub ayam

16.  1 batang serai – diketuk

17.  Jus limau secukupnya

18.  Garam dan gula secukup rasa

19.  Minyak

 

Cara-cara Memasak Ayam Paprik bersama Cendawan Tiram


1.      Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta halia.

2.      Apabila sudah naik wangi baunya, masukkan ayam.

3.      Kacau rata dan tutup seketika.

4.      Apabila ayam sudah masak, masukkan bawang Holland dan serai.

5.      Masukkan air dan biarkan mendidih.

6.      Masukkan semua sos serta kiub ayam.

7.      Kacau rata.

8.      Masukkan pula sayur-sayuran, bancuhan tepung jagung. Biarkan mendidih.

9.      Masukkan jus limau, garam dan gula secukup rasa.

10.  Kacau rata sebelum padamkan api.

 

Kesimpulannya, anda boleh mempelbagaikan gaya masakan anda untuk menyediakan ayam paprika ini. Anda boleh makan bersama nasi putih, nasi goreng atau boleh juga dimakan begitu sahaja. Hal ini kerana, bahan utamanya ialah ayam. Ayam menyumbangkan protein dalam badan kita boleh membantu mengeyangkan kita.